Pages

Tuesday, 4 October 2011

DUNIA YANG DIKEJAR

Suatu hari aku sedang berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan maghrib, aku terlihat kelibat seorang wanita.
Gambar hiasan
Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku, seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing ke satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut. Aku mengikut nafsu untuk membontoti arah wanita cantik itu pergi.

Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku mengah manakala degup jantungku pantas. Sekonyong-konyong, wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu di balik purdah hitamnya yang jarang.

"Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?" Hatiku tertanya-tanya.

Aku pantas melangkah menurutinya dan memasuki lorong di mana wanita itu kulihat masuk. Azan yang sedang berkumandang tadi langsung tidak kudengar lagi. Seterusnya wanita itu mengimbau aku, dia sentiasa di hadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak-buak.

"Adakah wanita itu orang gila?" Hatiku bertanya sendiri.

Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan senja semakin kelam. Wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.

Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi.

"Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik,.

"Bawakan kuncinya. " katanya lagi.

Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu.

Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku.

"Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi.

Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir .

"Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu tenggelam di dalam air.

Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dasar perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya.

Argh!! Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut tuanya.



" Pandang aku sungguh-sungguh, " kata wanita itu lagi.

"Namaku Dunia. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku, sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari... " Katanya dengan nada menakurkan.

Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.

Barulah kusedar, maghrib yang kutinggalkan tadi telah luput kerana mengejar fatamorgana.

No comments:

Post a Comment